Tuesday, August 31, 2010

harap-harap paham la

Bagaikan menahan lukah di pergentingan, Umno dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka. Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, Umno dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau, baru-baru ini.  
Peristiwa Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009 yang lalu, telahpun hampir dilupakan.  Kini tindakan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) masuk ke Surau Al-Huda, Kajang dan YB William Leong (Bendahari PKR, Ahli Parlimen PKR Selayang) masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pula dijadikan isu besar.
Untuk menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini, kami ingin membawa perhatian semua pihak kedudukan perkara ini dari perspektif fiqh (hukum hakam Islam). Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini. Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid. Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah. Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.
Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)" .
Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.
Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di negara ini. Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.  
Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.
Sewajarnya, para wakil rakyat PR demikian perlulah diberikan pujian kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini. Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.
Kekecohan yang digembar-gemburkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan Umno selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu. Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan. Kita sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala Umno ini. Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita. Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut di dalam batu. 
Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan. Inilah keyakinan kita kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.
Dr Muhd Nur Manuty,
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat.

Harap-harap

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap anak-anak muda seluruh negara dapat bersama menurunkan tandatangan secara online sebagai tanda sokongan menghapuskan saman ekor yang dilihat tidak mendidik pemandu sebaliknya memeras wang rakyat dengan cara halus.
Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini lanjutan daripada pelancaran Kempen Sejuta Tandatangan Bantah Saman Ekor yang dilancarkan pada 23 Ogos lepas di Bazaar Ramadhan Pasar Keramat.
Tambahnya, tandatangan bolehlah diturunkan di alamat http://www.petitiononline.com/saman/petition.html mulai sekarang dan akan berakhir pada 31 Oktober nanti.
Katanya, walaupun kempen itu sedang  rancak gerak kerjanya di peringkat parlimen yang diuruskan oleh setiausaha DPP kawasan-kawasan, namun DPPP merasakan perlunya satu alternatif yang lain iaitu dengan melalui dunia siber yang semakin popular terutamanya di kalangan masyarakat bandar dan ibu kota.
“Kempen begini dirasakan perlu oleh DPPP dalam usaha untuk menarik  masyarakat terutamanya  golongan anak-anak muda untuk menyatakan sokongan supaya dapat bersama-sama DPPP bagi menyatakan sikap terhadap kerajaan Malaysia agar memansuhkan terus saman ekor, bukannya menangguhkannya,” ujarnya.
DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena melalui Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang begitu komited dalam menentang saman ekor.
Katanya, kempen itu dijalankan ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan ekoran mempunyai saman ekor.
Tambahan pula, ujarnya dengan rintihan rakyat tentang saman ekor yang jelas membebankan, maka DPPP mengambil ketetapan untuk mengumpul tandatangan membantah saman ekor dan sedang digerakkan ke seluruh negara yang mana kemudiannya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tanda bantahan.

Fikir-fikirkan la kawan

Pendekatan bertugas Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang, 22 Ogos lalu semata-mata untuk memenuhi permohonan bantuan surau dan menyerahkan kepada pihak terbabit serta menyampai ucapan berhubung program pendidikan Kerajaan Negeri Selangor dilihat sudah dipromosi secara salah oleh pihak tertentu. Menyebabkan terbongkar satu lagi kejahilan amalan beragama sesetengah orang Melayu yang beragama Islam secara “keturunan.”
Rasa sedikit pilu atas keserlahan kejahilan beragama itu turut dirasai oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.  Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana pendekatan itu merupakan antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah. Namun, menurut Tuan Guru ia menjadi bising kerana sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni. Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.
Menurut Tuan Guru lagi sepertimana dipetik Rizal (Harakahdaily 28 Ogos 2010), “kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid. Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi.”
Benarkah mereka ini jahil?
Kejahilan amalan beragama sesetengah orang Melayu yang beragama Islam secara “keturunan” dapat dibaca secara terbuka, terang dan nyata. Antaranya dalam Utusan Online (27 Ogos 2010) menyiarkan kenyataan jahil tuke, seorang pejuang Melayu (bukan pejuang agama) merangkap Yang Dipertua kepada sebuah pertubuhan (peringkat Negeri Selangor) yang ada kaitan dengan pejuang Melayu Pasir Mas ada berkata, pihaknya memandang serius tindakan Nie Ching kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan titah Sultan Selangor berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik sebelum ini. Lalu menganggap tindakan ahli parlimen itu bertentangan dan menyalahi hukum kerana orang bukan Islam tidak boleh memasuki ruang solat masjid atau surau apatah lagi untuk menyampaikan ceramah kepada umat Islam. Lantas menyifatkan ia betul-betul satu penghinaan yang amat besar kepada umat Islam apabila ada seorang bukan Islam yang keadaannya tidak 'bersih' memasuki ruang solat utama surau berkenaan untuk mengadakan majlis dan membuat ucapan di situ. Malah turut mempersoalkan pula tindakan Teo Nie Ching itu, apakah kerana politik, maka hukum dan larangan orang bukan Islam masuk ke dalam ruang solat masjid dan surau boleh dihalalkan.  Semua kenyataan itu disiarkan secara terang (bercetak) oleh akhbar Utusan Malaysia (28 Ogos).
Turut disiarkan oleh akhbar yang sama ialah selaran oleh individu yang mengaku sebagai pengerusi kepada majlis gabungan pertubuhan tertentu (juga peringkat Negeri Selangor) dan sasarannya ialah menyelar tindakan pihak jawatankuasa surau Al-Huda ekroan berita membiarkan orang kafir (mungkin dimaksudkan kepada ahli parlimen Serdang) yang memasuki ruang solat dan memberikan ucapan dalam rumah ibadat itu. Selarannya itu turut dipetik sebagai berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan aktiviti surau terbabit, barisan jawatankuasa surau itu seharusnya bersikap lebih peka dan sensitif dalam hal melibatkan persoalan agama. Lalu mengaitkan peristiwa (dimaksudkan kepada orang kafir masuk surau) itu dengan persoalan, adakah ideologi politik yang menjadi kepercayaan ahli-ahli PAS yang dikatakan berada dalam surau berkenaan melebihi daripada hukum dan larangan yang ditetapkan oleh ajaran Islam. Kemudian menyindir tindakan ahli politik (ahli parlimen wanita yang dimaksudkan itu mungkin Teo Nie Ching) dengan penegasan, “jika mahu memberikan bantuan atau mengadakan ucapan, kenapa tidak pilih saja tempat lain, kenapa perlu diadakan di dalam ruang solat surau berkenaan."
Kenyataan mengejutkan
Sesuatu yang mengejutkan ialah kenyataan salah seorang pihak berkuasa mengurus agama di Negeri Selangor (bukan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali) yang telah membuat siasatan ke atas kes ahli parlimen wanita bukan Islam memasuki surau al-Huda sebagai benar berlaku (Utusan Malaysia 28 Ogos), lalu pihaknya membuat keputusan untuk mengambil alih Surau al-Huda dan mengurus pentadbrian surau itu serta merta.
Jika kenyataan itu diamati, maka orang awam akan memahaminya sebagai suatu kesalahan besar bagi mana-mana pihak yang mentadbir masjid atau surau menerima kehadiran orang politik (bukan Islam) menyampaikan sumbangan dan berucap dengan menyentuh program Kerajaan Negeri Selangor. Maka layak dipersoalkan, apakah hukum (fatwa) menerima sumbangan dan ucapan dari orang politik di atas masjid? Atau apakah hukumnya orang bukan Islam hadir ke dalam masjid untuk menyampai sumbangan dan berucap? Implikasinya, jika hukum (fatwa) yang dipakai bagi kedua-dua keadaan itu adalah hukumnya haram, nyatalah ajaran Islam yang dianuti itu bukan menggambarkan keterbukaan Islam dan hakikat Islam itu bukan indah dan bukan untuk semua kaum. Natijahnya pendirian hukum itu boleh disifatkan batil.
Tidak mengejutkan
Di sebalik ada tindak balas sepertimana di atas, ada pula tindakan pemimpin cabang pemuda Umno Selangor (Bernama 28 Ogos) yang menganggap pendekatan ahli parlimen Serdang itu sebagai “mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.” Kenyataan itu tidaklah mengejutkan kita kerana memang Umno berkarat memperjuangkan sentimen kaum Melayu.
Kenyataan hampir sama dengan ulasan ketua cabang wanitanya (Utusan Malaysia 28 Ogos) yang menganggap pendekatan ahli parlimen wanita (katanya dari DAP) itu adalah “menifestasi kebiadapan” pemimpin pembangkang kepada umat Islam. Persoalannya, adakah memberi sumbangan dan menceritakan program Kerajaan Negeri Selangor sebagai suatu kebiadapan? Mungkin bagi mereka (dua pemimpin Umno itu) rumah Allah (masjid, surau dan madrasah) hanya layak dimasuki orang Melayu sahaja. Lalu mata dacingnya begitu sensitif seakan-akan ahli parlimen (seorang dari kaum Cina) sudah menghunus senjata kepada pemimpin 1Malaysia. Jika demikian benarnya apa yang dipetik oleh Bernama (29 Ogos) itu, maka memang parah pemikiran 1Malaysia pemimpin generasi baru Umno, sampai gopoh begitu sekali!
Penjelasan tuan terbabit
Sehubungan dengan beberapa ulasan dan kenyataan yang mensasarkan kepada ahli parlimen Serdang itu, maka tuan punya diri (Teo Nie Ching) telah menjawabnya seperti dilapor menerusi blognya (http://www.wretch.cc/blog/teonieching/21522314). Antaranya beliau mengeaskan kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan untuk memperbaiki pagar surau, dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.
“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.
“Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.
“Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.”
Berdasarkan pengakuan di atas, apakah pengadilan yang harus diberikan kepada ahli parlimen Serdang itu? Ataukah kita menerima apa yang dilaporkan media dan menganggap segala kecaman serta amaran daripada pelbagai pihak itu sesuatu yang benar dan adil? Hanya kerasionalan mampu menterjemahkan sesuatu yang benar dan adil.
Kes sama dihadapi Jayakumar
Pengarang Utusan Malaysia sebelum ini (5 November 2009) turut melaporkan cerita yang sama melibatkan sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang yang membenarkan Ahli Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar berucap di dalam masjid. Lalu dikatakan seorang ketua bagi pihak berkuasa agama menegaskan, “orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid.” Kenyataan itu berbau hukum (fatwa) sahih kerana membuat analogi yang tepat, iaitu Islam melarang wanita berhaid masuk dalam masjid.
"Orang bukan Islam dibenarkan datang dan melawat masjid tetapi tidak boleh masuk dewan utama solat, lebih-lebih lagi berucap di tempat kita bersolat.”
Realitinya, Jayakumar hanya hadir berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan dibuat di dalam masjid (pada 31 Ogos 2009). Peristiwa itu seakan sama dengan apa yang dihadapi Teo Nie Ching. Apapun, tindakan pihak berkuasa agama itu adalah seakan menyokong memorandum Pemuda UMNO ketika itu yang dikatakan melihat tindakan Jayakumar itu hanya boleh berucap di pekarangan masjid tanpa perlu menggunakan dalam masjid.
Fatwa bukan Islam boleh masuk masjid
Apa yang difahami daripada beberapa kenyataan pemimpin Umno, pihak berkuasa agama mahupun beberapa penulisan yang termuat dalam Utusan Malaysia (akhbar Penyebar Fikiran Rakyat) pada 30 Ogos 2010 dilihat menyerang Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Malah kesan daripada kenyataan dan penulisan itu secara terang telah memberi imej buruk kepada ajaran Islam itu sendiri. Justeru Islam sudah tiada keindahan lagi dalam konteks hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
Hayatilah kenyataan fatwa yang dibaca seperti berikut: “Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.
Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.
Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.”
Landasan mengukuhkan fatwa
Sehubungan dengan fatwa tersebut, kita umat Islam seharusnya berfikiran rasional berasaskan beberapa landasan hukum harus atau haram orang bukan Islam memasuki masjid. Berpandukan beberapa sumber, tulisan ini memaparkan beberapa pandangan ulama’ mengenai hukum harus dan haram bagi orang bukan Islam memasuki masjid. Antaranya pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram dengan berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah menerima tetamu dari Thaqif, yang masih belum Islam pada masa itu di masjidnya dan tinggal di situ sebelum mereka memeluk Islam. Dalam hal ini, Imam Ahmad Hanbal menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan yang munasabah.
Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi SAW untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, Nabi menyebut kepada sahabat, “biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka).”
Selain itu, Imam Bukhari menerusi sebuah hadis menyebutkan bagaimana seorang bukan Islam bernama Thumamah ibn Athal diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu): “Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda ke arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) bernama Thumamah ibn Athal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Selepas tiga hari, yakni setelah Thumamah melihat bagaimana umat Islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya, akhirnya dia memeluk Islam kerana tertawan dengan keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.
Meskipun firman Allah SWT (al-Taubah ayat 28) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini.” Namun, ayat ini menegah orang-orang bukan Islam memasuki Masjidil Haram dalam keadaan telanjang sebagaimana adat mereka ketika jahiliyyah adalah menghina Masjidil Haram. Ini kerana apa yang menjadi najis bukan tubuh badan mereka tetapi iktikad mereka. Imam Abu Hanifah menyatakan orang bukan Islam dibenarkan memasuki Masjidil Haram sekadar lalu, tidak dibenarkan duduk dan menetap (sebagaimana sebahagian umat Islam) dan ‘kotor' sebagaimana difahami adalah kekotoran syirik yang melibatkan hati bukan kekotoran fizikal.
Begitu pula ada pandangan ulama-ulama mazhab Syafie membolehkan bukan Islam memasuki masjid dengan izin kaum Muslimin kecuali Masjidil Haram (rujuk Raudhah Tolibin, Jil.1.  Hlm. 296). Pandangan yang sama dengan Imam Ahmad dan sebahagian ulama Mazhab Hambali. Ia berlandaskan kata-kata Said bin Musayyib: “Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia belum Islam, namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram (Rujuk Tafsir Ibnu Abi Hatim mengenai ayat 28, surah al-Taubah).
Apapun, pandangan Imam Ahmad bin Hanbal adalah haram orang bukan Islam memasuki masjid. Ia disokong majoriti fuqaha mazhab Hambali. Asasnya berpandukan hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah menyuruh seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar tidak membantah halangan Abu Musa. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya mengenai ayat 28 surah al-Taubah.
Namun, pandangan mazhab Malik (rujuk Hasyiah al-Showi dan Hasyiah al-Dusuki) orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan dalam keadaan darurat (tertentu). Asasnya kerana dibimbangi akan berlaku perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Keadaan darurat itu dirujuk kepada perbezaan jenis orang bukan Islam itu sama ada harbi, zimmi atau ’ahdi. Maka yang bertaraf zimmi adalah mereka yang sedia mesra dengan Islam tidak mungkin menghina kesucian masjid.
Kunci fatwa
Apapun perbahasan harus atau haram orang bukan Islam memasuki masjid tetap berteraskan kepada firman Allah SWT (al-Taubah ayat 28) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini.” Justeru itu, ada pandangan yang melihatnya paling kurang terdapat tiga isu yang diperbincangkan oleh ulama Islam: pertama, orang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, kedua mengapa orang bukan Islam dilarang memasuki Masjidil Haram, dan ketiga orang bukan Islam memasuki masjid selain Masjidil Haram.  Sehubungan itu perlu juga dirujuk kepada maksud firman Allah (an-Nisa’ ayat 43), “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja.”
Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat ini. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad menghalusi dalam hal tersebut. Sementara di sisi mazhab Maliki dan Syafie pula melarang memasuki Masjidil Haram, namun demikian bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) dibolehkan untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.
Masjid selain Masjidil Haram
Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap melarang orang bukan Islam memasuki masjid. Manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan memasuki masjid-masjid selain Masjidil Haram dengan syarat-syarat tertentu. Ibn Hajar  juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah (merujuk hadis mengenai Thumamah ibn Athal) tersebut.
Imam Nawawi yang merujuk hadis ini berkata harus mengikat tawanan dan menahannya serta harus bagi seorang yang bukan Islam memasuki masjid. Bagi Mazhab Syafie keharusannya dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam sama ada orang bukan Islam itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya (rujuk Syarah Sohih Muslim 12/87).
Selain yang di atas, al-Muzani merupakan murid Imam Syafie juga berbeza ijtihad dengan gurunya. Bagi al-Muzani menyatakan tidak harus orang bukan Islam memasuki masjid, apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat (an-Nisa’:43) di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.
Bagi al-Mawardi pula, apa dimaksud al-Muzani, iaitu sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika tidak harus bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah orang bukan Islam lebih-lebih lagi dilarang––kerana  mereka dikira sentiasa berjunub. Malah kata-kata Imam Syafie dalam hal ini, iaitu “tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram (rujuk al-Hawi al-Kabir 2/268).
Rumusan hukum
Majoriti ulama bersepakat orang bukan Islam tidak boleh memasuki Masjidil Haram. Sementara agak jelas terdapat ijtihad yang berbeza di dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid selain Masjidil Haram. Namun didapati majoriti ulama silam dan masa kini dilihat mengharuskan orang bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa, tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Antara syaratnya mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan, mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya, dan orang bukan Islam mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya.
Sesungguhnya Islam menggalakkan toleransi dan keharmonian hidup antara Islam dan orang bukan Islam. Jika masuknya orang bukan Islam itu untuk menyampaikan ucapan yang boleh membawa kepada persefahaman lebih baik, maka ia amat digalakkan. Selari dengan hakikat Islam ialah agama yang mengamalkan dialog yang bermanfaat dalam maksud dengan semua kaum dan agama.  Selari dengan panegasan Sheikh `Atiyyah Saqr, bekas ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar bahawa mengikut fuqaha’ mengenai maksud firman Allah SWT (merujuk kepada at-Taubah: 28 dan an-Nisaa’: 43) majoriti fuqaha’ termasuk kalangan Mazhab Maliki, Shafie dan yang lainnya hanya musyrikin atau penyembah berhala tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram di Mekah. Bermakna tidak salah kalau orang Kristian (Nasrani) dan Yahudi memasukinya.
Berdasarkan kepada pandangan dinyatakan, umumnya orang bukan Islam dibenarkan untuk memasuk masjid dengan berpandukan keadaan, iaitu tidak harus memasuki Masjidil Haram kecuali dengan kebenaran pihak berkuasanya, ada alasan kukuh atas sifat memberi kebaikan di sisi Islam, menghormati kemuliaan masjid sebagai tempat suci untuk beribadah dan menjaga tingkahlaku termasuk berpakaian sopan menurut Islam. Apapun pandangan ulama’ membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid adalah bersandarkan sirah di zaman Nabi yang menghukum Thumamah ibn Athal diikat di tiang Masjid Nabawi dan orang Nasrani Najran dibenarkan masuk ke Masjid Nabawi.
Rumusannya, jalur mazhab Hanafi membenarkan orang bukan Islam memasuki semua masjid, Syafie pula membolehkan bagi semua masjid melainkan Masjidil Haram dan sekitar tanah haram Mekah, dan mazhab Maliki pula tidak harus melainkan kerana darurat ada kerja yang kepakaran berada pada orang bukan Islam.

Agak-agak la kawan

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Umno terus memainkan intrumen fitnah bagi memburukkan Imej PAS dan Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadhan.
Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, tindakan cybertrooper Umno yang menggunakan nama "PAS Beruk" mencipta dan menyebarkan gambar super impose yang kononnya Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam dengan tagline "Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP??" adalah keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama.
“DPPWP kesal kesal budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun dalam bulan Ramadhan ini. Begitu jauh mereka tersasar dari hidayah Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Baginya, demi kepentingan politik mereka, gambar sedemikian dicipta, walhal gambar sebenar adalah menunjukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang menyembelih lembu korban untuk rakyat.
Katanya, gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam.
“Hal sebegini sudah berakar umbi dalam Umno sehingga diwarisi oleh anak-anak muda hingusan yang baru bersama Umno,” katanya.
Sebelum ini, media Umno-Utusan Malaysia memutar belitkan fakta dengan menyebarkan kepada rakyat yang ahli parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching beri 'tazkirah' dalam surau di mana ucapan aluan sengaja ditukar kepada 'tazkirah' bagi mencetuskan polemik awam.
Dua hari lepas, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga mantan Ketua Penerangan Umno pula menyebarkan fitnahnya dengan mengatakan PAS mahu rampas harta Cina semasa peristiwa 13 Mei dan PAS kononnya turut menyokong tindakan Indonesia menyerang Malaysia semasa konfrontasi.
“Semua ini adalah fantasi Umno. Kini mereka bermain gambar pula, sama seperti gambar Zaid minum arak yang mereka cipta di Hulu Selangor. Tindakan ini menunjukan Umno semakin kehabisan modal untuk burukkan PAS dan Pakatan rakyat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, DPPWP berharap pemimpin dan ahli Umno bertaubat.
Katanya, semakin banyak fitnah disebar, semakin terdedah keburukan Umno, semakin banyak fitnah disebar, semakin meluat rakyat kepada Umno.
“Malulah kepada bukan Islam, malulah kepada umat Islam, malulah kepada Allah kerana perbuatan fitnah ini begitu jijik dan jauh lebih dahsyat dari membunuh. Ianya tidak akan diterima oleh mana-mana kaum dan agama sekalipun,” ujarnya lagi.

Monday, August 30, 2010

Time cuti banie la

Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) akan memberikan tol percuma bagi semua kelas kenderaan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Sazally Saidi, berkata tol percuma ini akan diberikan selama 24 jam bermula 31 Ogos mulai 12 tengah malam hingga tengah malam hari berikutnya.

"Sejajar dengan pengumuman Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor baru-baru ini, Litrak akan memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh rayanya sebagai tanda penghargaan syarikat disamping mengambil semangat Hari Kemerdekaan dan menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.

"Kami amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada perayaan yang sungguh bermakna ini dan menjadi harapan kami supaya pemberian ini akan menyemai semangat 1Malaysia dan menyemarakkan lagi semangat patriotik terhadap negara," , katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sazally berkata, pemberian tol percuma sempena Merdeka ini adalah di semua empat tol plaza di LDP.

Selain Syarikat Litrak yang memberi laluan tol percuma , tiga syarikat konsesi lain turut menawarkan diskaun tol sebanyak 20 peratus.

Syarikat itu ialah Plus Expressway Berhad yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson; Linkedua Sdn Bhd (Johor Bahru ke Singapura) serta Elite Sdn Bhd (Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah).

- Bernama

Sunday, August 29, 2010

Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang  kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

Tuan Guru berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan media anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di rumah anak yatim Taman Sabariah.

Seramai lebih 170 orang anak yatim menerima sumbang wang hari raya dari PMBK.

Wednesday, August 25, 2010

Bagi la peluang

Bagaikan bermusim, kes-kes pembuangan bayi kembali menjadi sajian harian di dada media. Pelbagai pihak yang prihatin tentang penyakit sosial yang semakin kronik itu seolah buntu dan mati akal memikirkan kaedah menanganinya.
Penubuhan pusat bayi terbuang bagaikan tidak memberikan apa-apa kesan mengurangkan gejala itu. Sebaliknya, semakin kerap rayuan mendayu-dayu para artis kita diulangsiar lewat media elektronik, semakin menjadi-jadi pula kes penemuan bayi terbuang.
Keputusan Kabinet minggu lalu agar kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh juga tidak cukup menggerunkan pelakunya. Buktinya, di luar sana saban hari ada bayi dibuang. Ada dicampak ke dalam longkang atau tong sampah, disumbat dalam pembetung atau mangkuk tandas.
Ada dijumpai terapung di sungai, dibungkus dalam beg plastik dan disangkut di pagar, ditinggal di atas rumput, dihurung semut dan diratah nyamuk. Malah ada yang ditemui sisa sahaja dipercayai telah dibaham anjing.
Mengikut fakta terkini dilaporkan media, sepanjang lima tahun ini 472 kes pembuangan bayi direkodkan. Sebahagian besar bayi ditemui itu sudah mati. Anggaplah jumlah yang tidak ditemui jauh lebih besar. Ada yang mungkin sudah ditanam, dibakar atau hancur dimamah faktor alam.
Tahun ini saja, setakat minggu lalu sudah tercatat 65 kes pembuangan bayi. Ia peningkatan ketara berbanding 79 kes sepanjang setahun lalu. Kita masih ada lebih empat bulan berbaki. Tidak mustahil jumlah tahun ini mampu mencecah 100 kes.
Terbukti setakat ini apa jua kaedah penyelesaian dicuba gagal membendung peningkatan gejala ini. Sebagai penganut Islam, mengapa tidak kita akui bahawa unsur yang ‘hilang’ (the missing elemen) dalam merangka kaedah penyelesaian kes buang bayi ini ialah ajaran Islam itu sendiri.
Masalah utama kita dengan pelaksanan Islam ialah apabila penganut agama ini sendiri cuak dan ragu dengan keupayaan Islam menyelesaikan masalah masyarakat. Keraguan itu mungkin timbul ekoran kelemahan dan kesilapan manusia yang sebelum ini melaksana atau mencuba formula Islam, tetapi gagal. Ia juga mungkin satu strategi terancang musuh Islam membentengi masyarakat daripada menaruh keyakinan terhadap kaedah penyelesaian dianjurkan agama suci ini.
Negara kita tidak kurang pakar dalam pelbagai bidang, termasuk pakar sosiologi, psikologi dan segala macam ilmu berkaitan kecenderungan manusia. Kita juga ada ilmuan Islam yang mampu menggarap lautan sumber hukum dan merumuskan pendekatan Islam ke atas setiap permasalahan. Kepakaran mereka boleh digabung-jalin bagi mencari formula terbaik.
Setakat ini langkah-langkah dikemukakan pelbagai pihak lebih ke arah merawat atau membasmi gejala membuang bayi, bukannya mencegah puncanya. Sedangkan masalah sebenar ialah punca yang membawa kepada kewujudan anak yang tidak diingini itu.
Secara rasional kita boleh bersetuju bahawa 100 peratus bayi yang menjadi mangsa pembuangan ialah yang dilahirkan tanpa nikah. Maka secara logiknya pembuangan bayi boleh dibanteras dengan mencegah kehamilan luar nikah.
Bagi umat Islam, langkah utama pencegahan itu ialah dengan kembali kepada kehidupan beragama. Islam bukan sahaja mengharamkan perbuatan zina (seks luar nikah), malah melarang umatnya menghampiri zina. Ini menunjukkan bahawa sebarang perkara yang boleh menjurus kepada menghampiri zina mestilah dijauhi atau ditiadakan.
Di antara perbuatan menghampiri zina ialah pergaulan bebas. Di antara medan paling subur untuk pergaulan bebas dan seks luar nikah ialah konsert dan pusat hiburan.
Selagi ada hiburan tanpa batasan, akan ada pergaulan bebas yang selalunya diiringi penyalahgunaan dadah dan berakhir dengan seks bebas. Gejala itu bakal menyumbang kepada meningkatnya kes kelahiran anak luar nikah.
Jika diteliti fakta anak luar nikah didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) awal tahun ini, jumlah 17,303 untuk setahun lalu bersamaan kira-kira 48 kes sehari. Itu bermakna kes kelahiran anak luar nikah di negara kita sepanjang tahun lalu secara purata berlaku setiap 30 minit.
Akuilah bahawa membendung perkara ini memerlukan komitmen semua pihak, terutama pihak berkuasa. Ia tidak mampu dibuat menerusi gigi dan lidah sahaja, tetapi memerlukan tindakan tangan yang menggenggam kuasa.
Hanya dengan kuasa pemerintahan dapat diperbetulkan kepincangan masyarakat. Antaranya, meminda undang-undang yang menganggap melakukan hubungan seks haram dengan kerelaan kedua-dua pihak bukanlah suatu jenayah.
Sudah lebih 50 tahun rakyat memberi peluang kepada Umno mengurus negara. Gejala sosial dan masalah merosakkan akidah umat Islam nampaknya bukan sahaja tidak dapat diatasi, malah semakin meruncing.
Fahaman memisahkan agama dengan politik dianuti parti itu menyebabkan pemimpin negara tidak berfikir sebagai orang beragama. Sebaliknya mereka menjadi penganjur acara hiburan dan pergaulan bebas. Mereka juga mempertahankan undang-undang yang tidak kondusif terhadap pencegahan maksiat dan hubungan terlarang.
Rakyat sepatutnya berhenti dari terus berharap Umno tampil dengan kaedah penyelesaian yang hakiki. Sudah sampai masanya rakyat memberi peluang kepada pihak lain pula, terutama pihak yang ikhlas mengemukakan Islam sebagai kaedah penyelesaian permasalahan masyarakat